Saturday, August 13, 2011

Koboi diserang makhluk asing!

Koboi diserang makhluk asing!

DI HOLLYWOOD, segala fantasi mampu menjadi realiti. Ia juga bukan mustahil melihat artis baru kecapi populariti dengan begitu mendadak malah melalui filem yang dianggap ‘tidak masuk akal’.

Siapa sangka, dunia koboi juga akhirnya diserang makhluk asing. Namun, itulah kelainan filem Cowboys & Aliens yang sedang rancak ditayangkan di pawagam di seluruh dunia ketika ini.

Ini bermakna filem arahan Jon Favreau itu bukan lagi menyaksikan koboi melawan musuh tradisi seperti Red Indians atau penjahat, sebaliknya bertempur dengan ‘makhluk canggih’ dari angkasa lepas.

Cowboys & Aliens ternyata semakin mencuri perhatian khalayak selepas ia

ditayangkan di Amerika Syarikat pada 29 Julai lalu. Sejak dua minggu tayangan, filem edaran Universal Pictures ini berjaya meraih kutipan terkumpul sebanyak AS$67.3 juta. Filem ini juga menduduki tangga ketiga Carta Box-Office AS di belakang The Smurfs dan Rise of the Planet of the Apes.

Di sebalik tarikan aksi dan sains fiksyen yang dipertontonkan, filem ini menghiburkan apabila menggandingkan barisan pelakon berpengalaman seperti Daniel Craig, Harrison Ford dan Olivia Wilde sebagai pendukung utama.

Pemilihan Craig dan Ford membintangi filem ini pasti mengundang persoalan ramai peminat mereka yang tertanya apakah motif dua hero besar ini membabitkan diri dalam filem khayalan sebegitu.

Craig, 43, sebelum ini dikenali ramai menerusi aksi tangkas sebagai James Bond menerusi sekuel, Casino Royale (2006) dan Quantum of Solace (2008). Malah imej ejen perisik handalan itu masih sebati dengan jiwanya apabila akan muncul dengan sekuel terbaru, Bond 23 yang masih dalam proses praproduksi.

Seperti Craig, Ford juga menjadi pujaan ramai peminatnya dan dianggap legenda di Hollywood. Pada usia 68 tahun, aktor kelahiran Chicago, Illinois, ini nampaknya masih gagah melakonkan watak aksi.

Lakonannya menerusi filem Star Wars, Episode IV - A New Hope (1977) dan pakar arkeologi dalam siri pengembaraan Indiana Jones serta Air Force One meninggalkan impak yang sangat kuat kepada peminat.

Kali ini, Ford mempelbagaikan aksi lakon beliau apabila membawa watak utama sebagai Kolonel Woodrow Dolarhyde yang bersikap sombong, sering berbalah dan berkuasa di kawasan penempatannya.

Mengambil latar belakang 1873 di Arizona, cerita ini bermula apabila penduduk di satu kawasan dikenali Absolution dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang hilang ingatan.

Seterusnya barulah mereka melihat sesuatu yang pelik dan di luar imaginasi mereka apabila kapal angkasa dan makhluk asing muncul menyerang mereka.

Ford berkata, ketika di lokasi penggambaran dulu, dia tidak perlu memberikan lakonan ke tahap maksimum. Merujuk pada watak utama iaitu koboi dan makhluk asing, dia percaya keseronokan akan wujud dalam pelbagai cara dan situasi.

Dalam filem ini, Dolarhyde berdepan masalah hubungan dengan anaknya, Percy lakonan Paul Dano. Di sebalik konflik keluarga ini, aksi pertarungan koboi dengan makhluk asing turut menjadi fokus kepada perjalanan filem ini.

“Filem ini memerlukan kita memahami kisah mitos dan realiti di kawasan kehidupan masyarakat Barat. Soal hubungan anggota keluarga perlu diperkatakan kerana ia adalah lumrah kehidupan yang dilalui.

“Bagi seorang ayah yang melayan anaknya dengan teruk membawa makna bahawa urusan hidup mereka belum selesai. Ia sesuatu yang sukar tapi yang menjadi persoalan, apakah dia masih mempunyai peluang untuk memperbaiki kelemahan itu,” katanya.

Penampilan Ford dalam filem ini menjadi kesinambungan selepas aksi koboi ketika membintangi The Frisco Kid (1979) dan drama bersiri, Gunsmoke (1972-1973).

Melihat ‘trend’ filem Hollywood masa kini yang gemarkan filem versi tiga dimensi (3-D), Ford akui lega apabila filem lakonannya itu tidak dihasilkan dalam format sebegitu.

Katanya, filem ini seharusnya mengekalkan format asal yang mampu menonjolkan ‘mood’ pada satu-satu tempat. Ia dianggap penting untuk melihat bagaimana perjalanan plot dan watak berkembang.

“Filem ini antara lain menggambarkan dunia hari ini semakin mencabar apabila perlu bergantung pada orang sekeliling. Saya fikir filem ini menunjukkan skala yang berbeza dari aspek penggambarannya. Ia juga menggambarkan kehidupan masyarakat Barat,” katanya.

Ford berkata, dia sememang mahu berlakon filem ini kerana rasa sangat teruja ketika meneliti 30 muka surat skrip yang diterimanya dulu. Ford akui awalnya dia masih kurang jelas mengenai watak yang perlu dibawakannya sehing�galah berbincang bersama Favreau serta penulis, Bob Orci dan Alex Kurtzman yang bertanggungjawab mengolah plot.

“Saya sentiasa berusaha mencari peluang memainkan karakter berbeza yang pernah saya lakon sebelum ini. Jika mempunyai peluang, ia seharusnya digunakan sebaik mungkin,” katanya.

Antara watak Indiana Jones dan Han Solo, watak Dolarhyde kata Ford sesuatu yang berbeza dan segar.

“Proses lakonan sama saja. Ia mewujudkan karakter yang menjelaskan plot dengan memahami kehendak watak itu sendiri. Apapun, saya gembira terus berlakon dan terbabit dalam penerbitan filem yang berkualiti,” katanya.

Craig juga berkongsi pandangan sama dengan Ford yang menyatakan berasa teruja untuk berlakon filem ini selepas mendapat skrip.

“Ia mencetuskan persepsi berbeza terhadap judul filem ini. Saya sukakan watak Jake Lonergan. Saya berusaha berikan lakonan terbaik mengikut apa yang pernah saya tonton dalam filem koboi lain dan bertuah kerana berpeluang melakonkan peranan itu,” katanya.

Info: Metro

No comments:

Post a Comment