SUBANG JAYA 19 Ogos - Pelakon yang kini menjadi pendakwah bebas, Azmil Mustapha didakwa mengkafirkan kerajaan dan sistem yang diguna pakai ketika menyampaikan tazkirah kepada hampir 300 jemaah Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang, di sini malam tadi.
Azmil, 59, yang dijemput menyampaikan tazkirah untuk selama 15 minit sebelum solat tarawih turut didakwa menggunakan kesempatan tersebut untuk menyampaikan ceramah berbaur hasutan politik supaya rakyat membenci Yang di-Pertuan Agong.
Namun dalam ceramah yang berlarutan selama lebih satu jam itu, Azmil juga menghina Yang di-Pertuan Agong serta beberapa sultan lain.
Bilal Masjid An-Nur, Mohd. Sani Nasib berkata, penduduk pada awalnya ternanti-nanti pelakon yang terkenal dengan watak Ali Setan itu untuk menyampaikan tazkirah.
Menurutnya, Azmil bagaimanapun memberikan ceramah berbaur politik dari pukul 9.30 hingga 10.30 malam dan tindakan itu telah mengganggu waktu solat tarawih.
"Semasa Azmil mengutuk dan mengkafirkan kerajaan termasuk sistem yang digunakan, terdapat sebahagian besar jemaah meninggalkan masjid dan ketika itu juga seorang penduduk yang dikenali sebagai Keman, 70-an, bangun menyoal tindakan Azmil.
"Azmil kemudian memalukan Keman dengan mengatakan amal ibadat, zakat dan haji yang dilakukannya tidak akan diterima Allah kerana menyoalnya. Sebagai orang tua, Keman yang enggan bergaduh kemudian meninggalkan masjid," katanya.
Mohd. Sani berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Kampung Baru Subang di sini, pukul 11.30 pagi ini.
Tambahnya, dalam ceramah itu, Azmil turut menjerit dengan mengatakan 'Melayu bodoh' dan 'Melayu tiada telur' beberapa kali kerana menyokong kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, sebelum ini penceramah bebas yang hadir pernah menyampaikan ceramah berbaur politik namun tidak sekeras Azmil.
"Kali ini kami tidak tahan lagi dengan penceramah bebas yang hanya mahu bercakap soal politik sedangkan masjid adalah tempat menyatukan orang Islam.
"Sebab itu, laporan polis dibuat supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dan ia mungkin boleh memberikan pengajaran kepada penceramah lain," jelasnya.
No comments:
Post a Comment