Monday, August 15, 2011

'Aku nak mati cepat, senang masuk syurga...'



Mohamed Farid Noh mfarid@bharian.com.my
2011/08/15
Afifi Nazri (klri) dan Maisarah Nazri
Dua beradik terbunuh nahas kereta bertembung

MPV BATU PAHAT: "Aku nak mati cepat, nanti senang nak masuk syurga," demikian antara luahan pelajar Tahun Tiga, Maisarah Nazri, 9, kepada sepupunya beberapa hari sebelum maut dalam kemalangan di kilometer 145 Jalan Parit Guntong-Semerah, dekat sini, semalam.

Tragedi kira-kira jam 8.30 pagi menjelang dua minggu sebelum Aidilfitri itu turut meragut nyawa abang keempat, Afifi Nazri, 16, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Vokasional Batu Pahat.

Ibu mangsa, Aisyah Othman, 47, berkata anak bongsu daripada enam beradik berkenaan sebelum itu memberitahunya mahu pergi dulu sebelum beliau dan ingin mendapat tempat di syurga. “Arwah kerap kali mengatakan mengenai keinginan mahu mati cepat pada usia muda, sehingga saya beberapa kali memarahinya supaya tidak bercakap perkara bukan-bukan. “Namun, Allah Maha Kaya dan saya tidak menyangka Maisarah akan meninggalkan kami sekeluarga dalam keadaan begini, apatah lagi dengan Aidilfitri yang akan menjelang tiba dua minggu lagi.

“Saya sedih dan terkilan kerana Maisarah tidak sempat memakai baju raya yang dimintanya, apatah lagi kami baru belikan untuknya beberapa hari lalu... masih terngiang-ngiang lagi suara Maisarah yang mahukan baju raya yang cantik serta mahal untuk dipakai Aidilfitri ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Nibong, Semerah. Dalam kejadian itu, kereta kancil dipandu Afifi bersama Maisarah bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika dalam perjalanan ke pusat tuisyen.

Wanita yang memandu pacuan empat roda berkenaan turut cedera patah tulang rusuk dan kini dirawat di Hospital Batu Pahat. Aisyah berkata, anak keempatnya, Afifi turut menunjukkan perubahan apabila bertukar menjadi agak pendiam dan selalu memencilkan diri. “Naluri saya menyatakan ada perkara yang tidak baik mungkin akan berlaku kepada keluarga saya dan ia ternyata benar,” katanya. Sementara itu, bapa mangsa, Nazri Mohd Basri, 47, berkata dia dimaklumkan kemalangan menimpa dua anaknya itu menerusi seorang rakan dan bergegas ke lokasi kejadian serta sebak melihat kenderaan dinaiki anaknya remuk. “Kebiasaannya anak sulung saya berusia 22 tahun yang menghantar Maisarah ke pusat tuisyen. Maisarah sudah terlambat untuk ke pusat tuisyen semalam sebelum mengejutkan Afifi untuk menghantarnya. Kami sekeluarga redha dengan ketentuan takdir Ilahi,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Nibong kira-kira jam 6.30 petang. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, ketika dihubungi berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 8.25 pagi sebelum polis ke ditugaskan ke lokasi kejadian. Katanya, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa (Afifi) jenis Perodua Kancil arah Semerah-Batu Pahat dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan MPV terbabit.

Berikutan kemalangan itu, katanya, kedua-dua mangsa dalam kereta Kancil cedera parah di beberapa bahagian badan sebelum disahkan meninggal dunia. “Pemandu serta penumpang MPV pula cedera ringan dengan seorang dipercayai patah tulang rusuk dan kini menerima rawatan di Hospital Batu Pahat,” katanya menjelaskan kes masih dalam siasatan.

Innalillah...)= Al-Fatihah untuk ke dua-dua adik nie );

1 comment: