Saturday, August 20, 2011

Kaya!!Kaya!! Agihan pendapatan 6.5 sen

MESRA...Ahmad Sarji dan Hamad Kama Piah bersama anak-anak yatim yang menerima sumbangan daripada PNB.
MESRA...Ahmad Sarji dan Hamad Kama Piah bersama anak-anak yatim yang menerima sumbangan daripada PNB.

AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.50 sen seunit untuk Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2011, meningkat 0.15 sen berbanding 6.35 sen seunit bagi tahun lalu.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM909 juta, meningkat 17.72 peratus berbanding RM772.19 juta pada 2010. Katanya, pembayaran lebih banyak itu disumbangkan prestasi lebih baik ASW 2020 yang memperoleh pendapatan kasar berjumlah RM1.158 bilion sehingga 15 Ogos lalu “Keuntungan penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang RM526 juta atau 45.42 peratus, manakala pendapatan dividen dari syarikat-syarikat pelaburan menyumbang RM442.82 juta (38.24 peratus).“Sumber pendapatan hasil pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain pula menyumbang RM189.27 juta (16.34 peratus) daripada jumlah pendapatan kasar berkenaan,” katanya ketika mengumumkan pengagihan pendapatan ASW 2020 di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASW 2020 membabitkan tarikh bermula 1 September 2010 hingga 31 Ogos 2011. “Pengagihan pendapatan akan mula dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 September tahun ini. Sehubungan itu, semua urus niaga ASW 2020 akan ditangguhkan mulai 25 Ogos sehingga 1 September ini bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun kewangan ASW 2020 sehingga Julai 2011, pasaran saham secara umumnya menunjukkan peningkatan berterusan didorong pengumuman data-data utama ekonomi pada peringkat tempatan dan global.

“Sejak awal bulan ini, saham negara menunjukkan penurunan yang begitu ketara disebabkan prestasi pasaran saham Amerika Syarikat yang mengalami penurunan apabila Standard & Poor's menurunkan tahap penarafan kredit Amerika Syarikat daripada AAA ke AA+.

“Untuk tempoh mendatang, iklim ekonomi dan pasaran saham global dijangka lebih mencabar berikutan perkembangan terbaru ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, portfolio luar negara kumpulan turut terkena tempias kelembapan pasaran saham dalam dan luar negara akibat krisis hutang Amerika Syarikat dan Eropah yang semakin merudum.

“Portfolio luar negara sedikit sebanyak memang terjejas tetapi pada keseluruhannya masih mantap sebab portfolio luar negara tidaklah banyak sangat.
PNB mengambil pendekatan bukan setakat beli saham, malah juga mempelbagaikan portfolio serta kita juga lihat dari segi instrumen lain supaya risiko dapat dikurangkan dan dapat memaksimumkan dari segi pulangannya,” katanya.

Kredit to: METRO ON9

No comments:

Post a Comment