SHAH ALAM 19 Ogos - Kerana terlalu percayakan teman lelaki warga asing yang baru dikenalinya di Internet, seorang janda kehilangan seutas jam Rolex dan barangan berharga bernilai RM125,000 setelah dicuri suspek di sebuah hotel mewah di Sepang, dekat sini pada 11 Ogos lalu.
Wanita tempatan itu hanya menyedari kejadian tersebut selepas dikejutkan pekerja hotel yang terpaksa masuk untuk memeriksa biliknya kerana mangsa masih belum mendaftar keluar walaupun telah melebihi waktu.
Ketika dikejutkan pekerja hotel berkenaan, mangsa berusia 30-an dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tanpa pakaian setelah dipercayai diberi minuman yang dicampur ubat tidur.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, mangsa yang dalam keadaan lemah itu kemudian dibawa oleh pihak hotel ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.
Katanya, lebih malang, dua hari selepas itu, suspek yang mengaku warga Australia telah menghubungi wanita tersebut dan mengugut akan menyebarkan gambarnya dalam keadaan tidak senonoh jika mangsa enggan membayarnya RM30,000.
Ujar beliau, selepas keadaannya pulih, mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan ugutan yang diterimanya daripada suspek pada 13 Ogos lalu.
"Berdasarkan siasatan awal kita dapati mangsa yang merupakan seorang wanita kaya berkenalan dengan suspek yang mengaku seorang warga Australia selepas berkenalan dan berbual di Internet baru-baru ini.
"Mangsa yang tempat tinggalnya terpaksa kita rahsiakan bersetuju menemui suspek dan menaiki penerbangan dari tempat tinggalnya menuju ke Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) pada petang 11 Ogos lalu.
"Sampai di LCCT, suspek menjemput mangsa dan membawanya ke sebuah hotel mewah dan di sana mangsa diberi ubat tidur sebelum barangan berharga miliknya dicuri. Kita juga percaya berlaku hubungan seks antara mereka," kata beliau kepada pemberita di sini petang ini.
Menurut Mohd. Adnan, pihaknya kini mengesan suspek yang dipercayai warga asing tetapi bukan dari Australia seperti didakwa dan telah mendapatkan lakaran wajahnya untuk diedarkan.
"Setakat ini, kita percaya suspek masih berada di negara ini," katanya sambil memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dan Seksyen 384 kanun yang sama iaitu melakukan pemerasan.
Beliau menasihatkan orang ramai terutama golongan wanita agar tidak mudah percaya dengan pujuk rayu 'romeo' Internet apa lagi yang baru dikenali kerana mereka mungkin penjenayah yang sedang mencari mangsa untuk ditipu.
Kredit to: Utusan on9
No comments:
Post a Comment