Thursday, August 18, 2011

Hikmah rusuhan di London



Insiden tanam sikap toleransi, hormati penganut agama

INSIDEN perhimpunan aman yang menular kepada rusuhan ganas di beberapa bandar utama di United Kingdom minggu lalu mengejutkan dunia.

Bencana yang berlaku sewaktu umat Islam menunaikan ibadat puasa menguji keimanan mereka yang menerima kesan langsung, akibat rusuhan itu. Mereka diuji dengan puasa yang panjang iaitu selama 18 jam ditambah terik matahari pada musim panas ini.

Mereka kehilangan premis perniagaan yang musnah dalam kebakaran, roboh dipecahkan dan ada hilang barang perniagaan kerana dilarikan perusuh. Bukan itu saja, selain dirompak di jalanan, ada kehilangan anak sewaktu membantu mempertahankan harta benda milik komuniti daripada dipecahkan perusuh.

Tangisan bukan lagi taruhan menenangkan hati. Di saat umat Islam diuji, mereka pasti kesedihan hanya menunda agenda membina kembali kekuatan diri. Mereka tidak peduli bangsa, agama dan warna kulit, mereka reda setiap manusia ada sisi jahat dan baiknya.

Hikmah besar buat setiap umat Islam di sebalik rusuhan di United Kingdom ialah suburnya Islam sebagai agama mementingkan nilai murni dan muamalah harmoni sesama manusia. Dunia juga mula membuka mata keganasan tidak sinonim dengan Islam.

Keganasan terhasil daripada runtuhnya hemah dan sahsiah manusia apabila diri tidak diterajui akhlak mulia seperti digariskan setiap agama. Islam juga kian mekar sebagai penyeru keamanan dan agenda mempertahankan hak asasi manusia. Penulis yakin rakyat Malaysia pasti tahu kejadian buruk menimpa Asyraf Haziq Rossli, pelajar kolej di United Kingdom. Dalam keseronokan membayangkan juadah berbuka, Asyraf tidak pernah tahu ada ujian besar yang akan menguji kesabarannya Ramadan kali ini .

Namun, selepas apa berlaku, tiada dendam tertusuk di hati, melainkan rasa kasihan kerana segelintir kanak-kanak serta remaja hari ini mula hilang nilai sosial positif yang sepatutnya menjadi bekal mengamankan dunia. Sikap berani dan pemaaf Asyraf amat mengagumkan warga United Kingdom, malah media turut berulang kali menayangkan kenyataan dikeluarkan Asyraf yang menyatakan beliau tidak pernah marah atau berdendam atas insiden yang menimpa dirinya. Beliau juga berhasrat mendermakan wang kutipan orang ramai untuknya kepada mangsa lain yang lebih memerlukan.

Islam sering dikaitkan dengan perbalahan dan keganasan akibat daripada perilaku segelintir umatnya, Islam juga dikaitkan dengan keprihatinan dan keharmonian apabila ia ditonjolkan warganya yang berkeperibadian tinggi. Atas hemah itulah, Asyraf menjadi ‘duta’ Malaysia dan lebih utama, mewakili seluruh Muslim yang kembali menyuburkan kemuliaan Islam di United Kingdom.Kerana rusuhan juga, hubungan antara kaum dan agama bertambah baik. Beberapa penganut Sikh mengawal sekitar masjid di Southall, London, sewaktu umat Islam menunaikan solat tarawih. Mereka mempertahankan premis ibadat umat Islam daripada diceroboh masuk perusuh tanpa rasa takut keganasan yang mungkin mengancam nyawa mereka.

Begitu juga sewaktu penganut Sikh berada di Gurduwara, sebilangan penganut Islam pula berkawal.Hakikat ini memperlihatkan pegangan agama membantu membina unit masyarakat bertolak ansur dan memahami hak serta tanggungjawab masing-masing, sekali gus menjamin keamanan dunia.

Paling meruntun hati, apabila Tariq Jahan, yang kehilangan anak lelakinya kerana dilanggar perusuh ketika mengawal premis perniagaan dan rumah merayu orang ramai menerima kematian anaknya sebagai takdir seperti dituntut Islam dan tidak membalas dendam.Walaupun kejadian tiga lelaki Muslim dilanggar perusuh hingga mati mengundang kemarahan seluruh warga United Kingdom dan umat Islam, masyarakat kembali tenang apabila Tariq Jahan berkali-kali merayu supaya bersabar dan menyerahkan tindakan seterusnya kepada undang-undang.

Inilah hikmah di sebalik rusuhan di United Kingdom, ia menjadi pengajaran bahawa diplomasi dan toleransi tidak sia-sia, bahkan ia menyatukan manusia. Islam juga bertambah subur di Britain, kerana ujian yang Allah berikan untuk memberitahu dunia, Islam itu agama sempurna. Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

No comments:

Post a Comment