Masalah permit kerja yang menghalang Safee Sali beraksi di England boleh diselesaikan dengan cara penyerang bola sepak kebangsaan itu perlu terlebih dahulu beraksi dalam liga lain sekitar Eropah.
Sumber memberitahu, usaha sedang dijalankan bagi mencari kelab sekitar Eropah supaya Safee Sali dapat bermain sekurang-kurangnya sembilan bulan, iaitu salah satu syarat bagi mendapatkan permit kerja di England.
Perkara itu mungkin boleh diputuskan dalam masa satu atau dua minggu lagi jika mendapat lampu hijau dari Cardiff City.
"Safee boleh beraksi di England tanpa terikat dengan syarat ranking pasukan kebangsaan perlu menduduki tempat 70 teratas dalam FIFA.
"Caranya, Safee perlu sekurang-kurangnya beraksi minimum sembilan bulan dalam mana-mana kelab di Liga Eropah."
"Rundingan sedang dibuat supaya Safee boleh bermain dengan kelab sekitar Eropah terlebih dahulu sebelum dia beraksi di England," kata sumber tersebut.
Pemain negara itu yang kini mewakili kelab Indonesia, Pelita Jaya itu baru sahaja pulang ke tanah air pada Rabu lepas selepas dua minggu menjalani latihan bersama kelab Wales itu. Jurulatih Cardiff, Malky Mackay mengakui terpikat dengan persembahan Safee Sali.
Begitpun dia menegaskan masalah permit kerja menghalang pemain berusia 27 tahun itu beraksi di sana kerana Malaysia tidak berada dalam senarai 70 negara terbaik dunia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).
Syarat mendapatkan permit kerja melalui meminjamkan pemain ke kelab lain di sekitar Eropah bukanlah asing, walaupun negara yang diwakili seseorang pemain berada di antara 70 terbaik dunia, kerana mereka perlu bermain sekurang-kurangnya 75 peratus perlawanan antarabangsa berkelas A.
Contoh terbaru, pemain Arsenal Ryo Miyaichi dari Jepun dipinjamkan ke Feyenoord di Liga Belanda selama satu musim sebelum mendapat permit kerja musim ini.
Bekas pemain Manchester United, Dang Fangzhuo pernah bermain di Liga Belgium, Royal Antwerp selama tiga musim sebelum mendapat permit beraksi di England.
Beberapa pemain lain seperti penjaga gol Wigan, Ali Ab-Habsi yang berasal dari Oman tidak menghadapi masalah mendapatkan permit kerja England, walaupun negaranya tidak berada dalam ranking 70 terbaik senarai FIFA kerana dia beraksi tiga musim bersama kelab dari Norway, Lyn Oslo.
Credit: UTUSAN (=
No comments:
Post a Comment